Rita nak bersara, hantar anak sekolah tahfiz

 

Aktres Rita Rudaini Mokhtar berhasrat meletakkan titik noktah dalam dunia lakonan, sebelum usia mencecah 50 tahun.

Bukan takut tidak laku atau populariti menjunam pada usia mencecah golongan emas, sebaliknya pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Cinta Gila dan Rahsia Hati itu mahu menjaga hati dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, yang bakal dihantar mengikuti pengajian tahfiz.

Rita, 45, memulakan kerjaya lakonan lebih dua dekad lalu berkata, dia tidak mahu selamanya bergelar pelakon. Selain itu, keputusan itu juga demi anak-anaknya.

"Saya hanya mempunyai tempoh antara tiga hingga empat tahun sebelum bersara. Pada usia 50 tahun, saya mahu berhenti bergelar pelakon.

"Saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan belajar ilmu agama. Sebenarnya, saya merancang menghantar Rayyan dan Arjuna mengikuti pengajian di sekolah tahfiz.

"Saya tak mahu anak-anak melihat saya gigih berlakon ketika itu. Saya kena jaga hati anak-anak," katanya.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, dia ingin cuba mendalami dunia perniagaan seandainya ada rezeki.

"Saya ingin menikmati hidup dengan melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

"Sejujurnya, saya seronok duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Saya dapat meluangkan banyak masa dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama," kata Rita ketika diundang sebagai tetamu pada program bual bicara, My SuperHeroes: Bangkit Semula yang disiarkan menerusi Facebook Live.

Program berkenaan adalah inisiatif pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam bagi membantu ibu bapa tunggal yang memerlukan.

Rita berkata, dia tidak mendambakan kehidupan mewah, sebaliknya bersyukur dapat mengusahakan perniagaan minyak wangi secara kecil-kecilan.

Baginya, apa yang penting dapat menyediakan pelajaran, makan pakai dan tempat berlindung untuk anak-anak.

Ketika diajukan pertanyaan tidakkah berhasrat kembali berumah tangga, Rita yang bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu berkata, setakat ini, dia langsung tidak mempunyai keinginan ke arah itu.

"Buat masa ini, perasaan mahu kembali bergelar isteri tiada. Pada usia begini, keperluan untuk diri saya tidak ada dan ditolak ketepi. Sekarang adalah masa untuk memberikan fokus pada anak-anak.

"Bagaimanapun, saya bukanlah sombong kerana percaya segala-galanya adalah kuasa Allah. Jika Allah hantar hadiah jodoh, siapalah saya untuk menolak ketentuan takdir.

"Saya akan terima dengan hati yang reda. Saya juga yakin Allah tidak pernah menghantar perkara yang tidak baik kepada kita," katanya.

Mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Rita berkata, dia tidak pernah memikirkan soal berkenaan.

"Seperti dikatakan, saya langsung tidak terlintas mahu mencari jodoh selepas berdepan episod kegagalan rumah tangga. Fokus saya hanya untuk membesarkan anak-anak," kata Rita.

Menurut Rita, dua cahaya matanya adalah segala-gala, perkara paling ditakuti kehilangan mereka.

Akuinya, prosiding mahkamah bagi tuntutan hak penjagaan anak-anak adalah perkara paling ditakuti dan menjadi pengalaman pahit sepanjang hidupnya.

"Kes hak penjagaan anak-anak ibarat penghujung dunia untuk saya. Saya tidak boleh tidur malam, terlalu takut dan lutut tidak boleh berdiri selagi kes berkenaan tidak selesai. Ia adalah pengalaman paling menakutkan dalam hidup.

"Alhamdulillah, anak-anak tidak pernah merasa kekurangan atau kehilangan, walaupun saya membesarkan mereka sendirian. Saya memang memberikan 110 peratus kepada anak-anak.

"Tiada apa-apa lagi untuk hidup saya. Sekarang ini, hidup anak-anak yang patut diberikan perhatian dengan kasih sayang yang tidak pernah dicurahkan kepada orang lain," katanya.

Pada sesi itu, Rita turut berkongsi bagaimana kuat berhadapan dengan masyarakat saat berdepan episod keruntuhan rumah tangga bersama bekas suami yang juga pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Namun, Rita berkata, dia juga pada mulanya tidak kuat. Malah, pada awal perceraian enggan keluar rumah kerana terlalu malu dengan ujian yang menimpanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bukannya melakukan dosa mahupun jenayah apabila difikirkan semula.

"Dari situ, saya bingkas bangkit daripada kesedihan. Saya terima ujian ini sebagai pengajaran, Allah ingin menjadikan saya wanita lebih baik.

"Mungkin Allah juga ingin mengangkat martabat saya sebagai janda. Allah sebenarnya selalu bagi perkara baik, cuma kita selalu tersalah sangka.

"Episod kegagalan dalam rumah tangga juga membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Paling penting, saya mula menjaga solat lima waktu," katanya.

Katanya, dia terlampau mencintai manusia, dapat kahwin dan kemudiannya, dikurniakan cahaya mata suatu ketika dahulu.

"Mungkin belum melalui episod kegagalan dalam hidup menyebabkan saya masih lalai dan tidak tahu bersyukur. Ibu turut bersyukur melihat perubahan diri saya.

"Saya tahu Allah sayangkan saya dan ingin memberikan sesuatu. Sejak menjaga solat dan mula mengaji, banyak perkara indah yang hadir dalam hidup.

"Jika saya terus di situ, mungkin terus alpa. Bagi mereka yang diuji, jangan rasa Allah ingin tarik nikmat atau tidak sayang, tetapi mungkin salah satu cara menjadikan kita lebih baik," katanya.

- Berita Harian

 

 

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post