Fara Hanim Razak, 25, masih baru dalam arena pengacaraan tanah air. Apatah lagi program dihoskan gadis ini menjurus informasi membabitkan wanita.
Memiliki pakej lengkap dengan personaliti menawan dan berhijab, Fara mengakui dia makin selesa mengemudi program Soal Wanita bersendirian. Soal Wanita kini musim kelapan, disiarkan TV AlHijrah (TVAH) selama sejam setiap Sabtu, jam 12 tengah hari.
Bersua dengan Fara atau Nor Farahanim Abd Razak ketika sesi fotografi, dia peramah dan petah berbicara. Memiliki ijazah Perhubungan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fara berkata rezekinya dilamar menjadi pengacara berlaku secara kebetulan.
Ujarnya, dia tidak menjalani uji bakat sebaliknya tawaran itu diperoleh melalui foto dimuat naik pada laman sosial Instagram (IG).
“Saya pun tidak sangka mendapat peluang menceburi bidang pengacaraan untuk program di TVAH. Apa pun, ia peluang keemasan sangat berharga.
“Sejak kecil, saya suka bercakap dan peramah. Jadi, apabila peluang tak diduga diperoleh untuk menjadi pengacara, takkan ditolak?
“Lebih baik saya gunakan peluang itu untuk mencuba. Apa pun, pada mulanya mengacarakan program Soal Wanita berdua dengan Ida.
“Namun, selepas Ida mendirikan rumah tangga, dia mengambil keputusan menarik diri kerana mahu fokus komitmen terhadap keluarga,” katanya.
Daripada dua orang bekerjasama mengacara Soal Wanita, kini hanya Fara menggalas tanggungjawab diberi.
Mengulas cabaran dihadapinya, Fara akui beraksi mengacara seorang diri memang cabaran besar buatnya malah sesiapa jua.
Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan sering berbincang dan bertukar pandangan dengan penerbit untuk idea lebih baik dan berkesan.
“Syukur alhamdulillah, sekarang saya semakin lancar mengacara dan lebih spontan beraksi depan kamera walaupun seorang diri.
“Lagi pun kalau musim sebelum ini rakaman Soal Wanita dibuat dalam studio tetapi kini ada pembaharuan bersesuaian cita rasa penonton remaja.
“Sekarang program Soal Wanita yang saya hoskan lebih lasak. Secara tidak langsung menggambarkan seorang Muslimah berhijab boleh melakukan apa saja aktiviti.
“Hijab bukan halangan tapi pada masa sama, adab sopan tetap perlu dijaga termasuk peka aspek pemakaian bersesuaian,” katanya.
Berbicara soal populariti, Fara berkata, pembabitannya dalam bidang penyiaran sebagai pengacara hanya untuk mengetengahkan bakat.
“Saya sangat berminat dengan bidang pengacaraan. Apabila peluang sudah diperoleh, ia perlu saya gunakan sebaik mungkin.
Pembabitan saya sebagai pengacara bukan untuk mengejar populariti sebaliknya sudah cukup gembira apabila kemunculan diterima baik penonton.
“Kini adalah masa untuk saya menonjolkan bakat dan menimba pengalaman. Soal populariti, saya lebih selesa tolak ke tepi,” katanya.
Kata Fara, dia sentiasa yakin bakat adalah keutamaan dan populariti akan datang kemudian selepas berjaya mempersembahkan bakat sebenar.
Mengenai kritikan diterima, Fara bersikap positif dan tidak cepat melatah dengan kritikan. Katanya, dia sentiasa berusaha memberikan yang terbaik pada setiap tugasan diberi.
“Jika masih mendapat kritikan penonton, saya terima saja. Mana yang baik saya teruskan. Sebaliknya saya tidak berkecil hati dan menerima kritikan diberi dengan hati terbuka,” katanya.
Fara juga sentiasa sedia memperbaiki kelemahan diri. Katanya, manusia tidak sempurna dan teguran penting untuk muhasabah diri.
Berkongsi juga harapannya, Fara akui menyimpan impian suatu hari nanti mendapat peluang mengacara program siaran langsung.
- metro