Sembilan daripada 10 hasil sumber rezeki datangnya daripada perniagaan. Jadi, tidak hairan empat adik beradik yang menggelarkan mereka, The Melvins kini bergelar jutawan muda.
Di saat rakyat Malaysia bergelut dengan hidup berikutan pandemik COVID-19, The Melvins yang terdiri daripada pelakon dan personaliti media sosial, Syatilla, Syifa, Syida dan Syafiqa turut berdepan kegetiran dengan dunia perniagaan.
Namun, siapa dapat menidakkan rezeki yang Allah kurniakan buat empat adik beradik itu dalam mengusahakan produk kosmetik jenama Kekasih by The Melvins.
Mengulas khabar angin yang mendakwa mereka kini bergelar jutawan segera, Syifa tidak menafikan berita yang tersebar.
"Syukur ke hadrat Ilahi, rezeki yang diperoleh atas usaha kami adik beradik. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan pemberian-Nya.
"Bagaimanapun, dunia perniagaan bukan seperti lakonan, banyak cabarannya. Kami merasakan masih banyak perkara dan ilmu yang perlu digali untuk menerokai bidang perniagaan.
"Kami bertuah memiliki pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan. Apa yang penting, kami gembira kerana perniagaan yang diusahakan mendapat respon positif peminat yang menjadi pelanggan.
"Prinsip dan keutamaan kami untuk berkongsi rezeki dengan peminat ketika berdepan dengan kegetiran pandemik COVID-19," katanya.
Syifa berkata, dia bersyukur dikurniakan dengan adik-beradik yang positif dan sentiasa berusaha dalam menjalankan perniagaan hingga meraih keuntungan berlipat ganda.
"Tanpa usaha dan sokongan antara satu sama lain tak mungkin perniagaan kami sampai ke tahap ini. Saya tabik kepada tiga adik beradik saya yang sentiasa berusaha dan mempunyai semangat untuk berjaya.
"Salah satu rahsia kejayaan kami adalah menjaga hubungan baik. Kami tidak pernah bergaduh, bermasam muka, cemburu, apatah lagi berkira soal duit.
"Kami ingat pesanan ibu bapa, apapun terjadi adik-beradik tak boleh berpecah. Kami kena saling membantu dan menyayangi. Alhamdulillah, tak sangka rezeki Allah kurniakan kami rezeki dalam sekelip mata," katanya yang melancarkan produk kosmetiknya, baru-baru ini.
Pada majlis sama, The Melvins turut melancarkan 60 papan iklan yang dipasang di lebuh raya seluruh negara.
Sumber : Berita Harian