Cat Farish nikahi pereka fesyen

 

Ahli kumpulan Ruffedge, Cat Farish sah bergelar suami kepada pasangannya, seorang pereka fesyen, Suriani Hassan hari ini.

Majlis pernikahan yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan tersebut hanya dihadiri bapa kepada Cat dan Suriani serta saksi.

Menurut Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan, 46, sudah menjangkakan perkongsian berita gembira itu akan mengejutkan ramai pihak.

“Sebenarnya ini memang majlis yang mengejut sebab tempoh perkenalan kami juga sangat pendek.

“Sudah kenal Suriani empat tahun lalu tetapi hanya sebagai kenalan jauh. Cuma pada Jun lalu, kami mula berkenalan lebih rapat dan dia juga ada tunjukkan reaksi positif.

“Kemudian pada September lalu, saya nekad jumpa keluarganya dan akhirnya bernikah pada hari ini. Jadi boleh dikatakan kami bercinta selepas nikah,” kongsinya kepada Kosmo Online!

Tambah pelakon filem Hantu Wangan itu, sikap suka mengambil berat dan hormat orang tua antara faktor hatinya terpikat kepada wanita berusia 34 tahun itu.

“Dia sangat menjaga ibu bapanya dan kami juga banyak berkongsi persamaan dalam kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Cat berpendapat berkahwin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi satu pengalaman yang berbeza buatnya.

Dia juga meluahkan rasa syukur walaupun majlis pernikahannya berlangsung ketika PKPB.

“Memang rasa berbeza dan pelik berkahwin ketika PKPB sebab banyak benda yang dihadkan dan majlis juga tidak boleh diadakan.

“Ada kebaikan dan kesedihan contohnya malam berinai tiada jemputan, majlis nikah juga hanya kami empat beranak sahaja tetapi kebaikannya saya terus boleh dapat sijil dan kad nikah,” ujarnya.

Sementara itu, Cat memaklumkan bahawa majlis sarung cincin dan resepsi persandingan belah perempuan dijangka akan diadakan pada bulan depan.

“Kalau tiada aral, kami merancang untuk majlis sarung cincin pada akhir bulan Disember nanti memandangkan urusan tempahan dewan tidak boleh dibatalkan.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana semua perancangan hari ini berjalan dengan lancar dan terima kasih kepada yang mendoakan kebahagian kami,” katanya lagi.

Mengulas tentang hubungan anak-anaknya bersama Suriani, Cat memberitahu semuanya dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah hubungan mereka semua baik-baik sahaja.

“Mereka masih dalam proses mengenali dan tidak pasti untuk memanggil Suriani sebagai mummy, bonda, atau ibu,” selorohnya.

Terdahulu, Cat membuat kejutaan selepas memuat naik foto bersama isterinya dalam Instagram dan memaklumkan sudah selamat bernikah pagi tadi.

Cat pernah mendirikan rumah tangga bersama Hartiny Ramli namun mereka berpisah pada April 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 14, Eva Latheefa, 11 dan Qul Iskandar, 10.

Sumber : Kosmo!

 

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post