Pradiabetes ubah gaya hidup Wany Hasrita
Penyanyi Wany Hasrita mengakui menemui hobi baharu apabila aktif menyertai larian maraton selepas kelahiran anak sulungnya, Aishah Al Iman, tiga tahun lalu.
Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, berkata, minat terhadap sukan itu tercetus selepas dia disahkan mengalami pradiabetes sejurus melahirkan cahaya mata.
Katanya, pada awalnya dia sekadar berjoging bagi meningkatkan tahap kesihatan sebelum minat itu berkembang menjadi hobi yang kini dilakukan secara serius sehingga berjaya menamatkan larian separuh maraton di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.
Kejayaan itu turut menyuntik semangat kepada penyanyi lagu Menahan Rindu itu untuk menamatkan larian maraton penuh pada tahun depan.
"Alhamdulillah, sekarang saya rasa sangat bersemangat. Selepas tahu saya mengalami pradiabetes, saya mula memberi perhatian terhadap kesihatan.
"Baru-baru ini saya berjaya menamatkan larian separuh maraton di Gold Coast. Sebaik sahaja tamat larian itu, saya terus terfikir untuk mencabar diri menyertai maraton penuh tahun depan. Itu sasaran saya sekarang.
"Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada saya mahu menjadi penyanyi atau pelari. Sebenarnya, selepas melahirkan anak dan mula menjaga kesihatan, saya menemui hobi baharu.
"Saya tidak pernah sangka mampu berlari sejauh itu, tetapi apabila berjaya melakukannya, ia menjadi pembakar semangat untuk terus aktif," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Impian Di Seoul, di sini, baru-baru ini.
Wany berkata, perubahan itu bermula dengan rutin berjoging sebelum pengurusnya memperkenalkan aplikasi Strava bagi merekodkan prestasi larian.
Katanya, penggunaan aplikasi itu mendorongnya untuk terus memperbaiki catatan masa dan mencipta rekod peribadi.
Sebelum ini, Wany pernah berkongsi dia mengambil serius aspek kesihatan selepas disahkan mengalami prediabetes dengan mengubah corak pemakanan dan mengamalkan gaya hidup lebih aktif bagi mengelakkan penyakit itu menjadi lebih serius.
- BH

No comments