Penyanyi dan pelakon popular Datuk Awie, 52, bersyukur kerana bakal menimang cahaya mata keenam tahun depan.
Awie yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 33, berkata, kandungan isterinya kini sudah memasuki usia tujuh bulan.
"Alhamdulillah, syukur. Rezeki baru, doakan yang baik-baik. Saya cuma minta peminat doakan sahaja. Apapun syukur pada Allah swt," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.
Berita gembira itu turut dikongsi penyanyi kumpulan Wings ini yang memuat naik video di Instagramnya.
Ia memaparkan Awie menemani isterinya untuk membuat pemeriksaan rutin di pusat perubatan di Ampang.
Dia memaklumkan Pakar Obstetrik dan Pakar Sakit Puan hospital berkenaan iaitu Dr Fauziah Mohd Hasan melaksanakan tugasan menyambut kelahiran lima anaknya sebelum ini dengan baik.
Awie turut meletakkan harapan supaya Dr Fauziah melakukan tugasnya dengan baik untuk kelahiran anak keenamnya nanti.
Perkongsian ini mendapat 65,563 tanda suka daripada peminat serta ucapan tahniah daripada mereka serta rakan-rakan artis antaranya Siti Elizad, Saiful Apek, Din Maidin dan Acong Sweetchild.
Sumber : MyMetro