Wany bersyukur ujian swab negatif

 

Kerisauan Wany Hasrita lenyap sebaik disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani ujian swab di sebuah pusat perubatan di ibu negara, Rabu lalu.

Berkongsi berita gembira bersama BH Online, Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, berkata, dia terpaksa menjalani ujian saringan selepas seorang teman mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif wabak berkenaan.

"Baru-baru ini, seorang kenalan kepada kawan Wany di mana kami sering bermain badminton bersama, disahkan positif COVID-19.

"Berikutan individu terbabit boleh dianggap sebagai kontak rapat, teman Wany itu perlu menjalani ujian swab bagi memastikan dirinya bebas daripada wabak berkenaan.

"Wany dan sahabat itu sering bermain badminton bersama. Jadi, secara tidak langsung, situasi itu menimbulkan kegusaran.


"Justeru, Wany juga memutuskan menjalani ujian saringan. Ketika itu, Wany sangat risau memikirkan apakah yang akan berlaku jika terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini," katanya.

Wany berkata, dia menjalani ujian swab, Selasa lalu dan keputusan diperoleh, keesokannya.

"Lega rasanya apabila keputusan ujian adalah negatif," katanya.

Pernah mengalami serangan panik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, Wany mengaku jiwanya tidak tenang sebaik mendapat tahu kawannya itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

"Wany jadi paranoid seolah-olah dijangkiti virus berbahaya itu. Setiap kali Wany periksa suhu badan, angka yang ditunjukkan semakin naik.

"Lebih membuatkan diri risau apabila mengenangkan keadaan ibu yang menetap bersama Wany.

"Kita semua sedia maklum golongan berusia adalah antara mereka yang berisiko diserang virus ini. Berikutan kerisauan melampau itu, tubuh Wany turut memberi reaksi negatif.

"Tiba-tiba tekak jadi tidak selesa, badan jadi panas dan pelbagai perkara yang bukan-bukan mula bermain di fikiran.

"Selepas merujuk kepada seorang doktor yang juga rakan sebilik ketika bergelar pelajar dahulu, dia beritahu itu hanyalah serangan kecemasan. Sahabat ini beritahu Wany tidak menunjukkan gejala yang boleh dikaitkan dengan virus itu," katanya.

Berkongsi pengalaman menjalani ujian swab, penyandang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-30 ini mengaku tubuhnya menggeletar disebabkan terlalu takut.

"Masa hendak isi borang untuk buat ujian itu, Wany sudah menggeletar. Ibu nasihatkan saya supaya bertenang kerana dia pernah menjalani ujian itu ketika diserang demam denggi pada musim perayaan lalu.

"Ketika tekak saya dijolok, memang ada berasa geli sehingga mahu terbatuk. Cuma apabila masuk dalam rongga hidung, kita akan rasa tidak selesa, seolah-olah ada benda tersekat di dalamnya.

"Selebihnya, saya rasa okay. Ambil darah lagi sakit rasanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, kembali bersaing di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 dalam dua kategori iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/ Berkumpulan Popular yang menyaksikan gandingannya bersama bintang legenda, Datuk Jamal Abdillah, Wany tidak meletakkan harapan tinggi.

"Saya difahamkan tahun ini penganjur tidak umumkan Top 5. Bagi saya, dapat tersenarai sekali lagi sudah cukup bertuah.

'Kalau ditakdirkan menang, ia bonus. Jika tidak, saya tetap bersyukur kerana hasil kerja saya masih mendapat pengiktirafan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post