Hasrat Wany Hasrita memiliki kediaman sendiri tercapai selepas menerima kunci rumah daripada pemaju, baru-baru ini.
Berkongsi berita gembira di akaun Youtube, penyanyi lagu Canggung itu menunjukkan pengikut persekitaran kediaman mewah terbabit.
Melalui keterangan mengiringi video kira-kira 11 minit itu, pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan.
"Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Berkat doa ibu dan semua orang, saya dapat beli rumah baharu. Walaupun lambat setahun dari azam yang dibuat pada 2019, tapi saya berjaya mencapainya.
"Alhamdulillah, tak besar dan tak kecil... Itu sudah memadai untuk kami berdua dan anak-anak kucing kami," katanya.
Mengaku tidak gemar berkongsi hal peribadi kepada umum, namun demi pengikut akaun YouTube yang sudah mencecah 100,000 orang, Wany atau nama penuh, Norshazwany Hasrita Hasbullah menyifatkan entri berkenaan sebagai hadiah buat mereka.
"Walaupun saya agak kedekut untuk berkongsi mengenai rumah, apa yang saya beli dan sebagainya, tapi apa yang saya lakukan hari ini adalah sebagai tanda terima kasih untuk semua pengikut akaun YouTube.
"Insya-Allah, saya akan maklumkan perkembangan rumah saya dari masa ke semasa sebaik proses pengubahsuaian bermula," katanya yang ditemani ibunya, Norita Jaafar ketika meninjau rumah teres dua tingkat itu.
Bukan sekadar berkongsi bahagian dalam rumah terbabit, penyanyi berusia 27 tahun ini turut memaklumkan proses pengubahsuaian yang bakal dilakukan sebelum berpindah masuk.
Dalam video itu juga, Wany berkongsi pengiktirafan yang diberi YouTube atas kejayaan akaunnya merekodkan 100,000 pengikut.
Sumber : Berita Harian