Pengarah suruh Nonny buka tudung?

 

Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah menepis dakwaan mahu berhenti bergelar seorang artis.

Ini berikutan ada yang menyangka wanita kelahiran Sabah itu enggan bergiat aktif dalam bidang seni berikutan perkongsian yang dimuat naik menerusi entri Instagram (IG) mengenai hasrat untuk lari daripada 'spotlight' dan menjalani kehidupan seperti orang biasa, baru-baru ini.

Menjelaskan spekulasi itu, Nonny berkata, dia memang berhasrat untuk menjadikan kerjaya seni sebagai pekerjaan sambilan, namun belum terfikir untuk meninggalkan punca rezekinya sejak 13 tahun lalu.

"Tak mungkin saya meninggalkan kerjaya seni kerana ini adalah periuk nasi saya selama ini. Bagaimanapun, saya berkemungkinan memperlahankan rentak dan menjadikan bidang lakonan sebagai kerja sambilan.

"Sebenarnya, ia adalah atas permintaan ibu yang pernah meluahkan hasrat supaya saya mencuba bidang lain. Bagaimanapun, itu bukan bermakna ibu minta saya bersara, sebaliknya dia hanya prihatin dan mahu saya memperbaiki diri sebagai bekalan akhirat.

"Namun, semakin banyak pula tawaran lakonan yang diterima setiap kali terbit perasaan mahu memperlahankan kerjaya seni. Ada masa, saya bertanya dalam hati, adakah ini rezeki atau ujian?," katanya.

Bukan mahu berlagak baik, sebaliknya wanita berusia 31 tahun itu hanya ingin memperbaiki diri yang sering terleka.

Bagaimanapun, Nonny berkata, dia enggan terburu-buru memperbaiki diri, sebaliknya mahu melakukannya secara peringkat bermula dengan mengenakan hijab pada tahun lalu.

Meskipun sudah mengenakan hijab, Nonny mendedahkan, ada sesetengah pengarah tidak sensitif dengan imejnya apabila memintanya menanggalkan tudung atas atasan ia babak dalam rumah.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak akan sesekali tewas dengan permintaan pengarah, malah sanggup melepaskan watak yang memerlukannya membuka tudung demi mempertahankan pendiriannya.

"Antara ramai pengarah, saya sangat menghormati pengarah drama Luka Di Hati Diya, Eyra Rahman. Dia menghormati saya sebagai pelakon berhijab dan melarang membuka tudung kerana tidak mahu menanggung dosa.

"Sejujurnya, saya terkejut apabila ada pengarah tidak menghormati pelakon bertudung. Ada yang minta pakai rambut palsu jika tidak mahu membuka aurat. Peliknya, kenapa mereka tidak ambil pelakon yang tidak bertudung, bukankah ia lebih mudah?

"Saya bukan mahu berlagak baik, tetapi saya sedang dalam fasa memperbaiki diri. Saya banyak kekhilafan pada awal pembabitan dahulu, jadi saya tak mahu mengulangi kesilapan sama. Selain itu, saya mahu rezeki yang dicari untuk keluarga lebih berkat," katanya.

Bagi merealisasikan permintaan ibunya yang mahu melihatnya mencuba bidang lain, Nonny berkata, dia kini berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan apabila bakal mengeluarkan produk, tidak lama lagi.

Belum mahu berkongsi perniagaan yang diusahakan, katanya, ia berkaitan dengan bidang kecantikan dan kesihatan.

Selain itu, Nonny berkata, niatnya memperlahankan kerjaya seni ada kena mengena dengan hasrat mahu menamatkan zaman solo bersama pelakon, Niezam Zaidi.

"Insya-Allah, doakan niat kami dipermudahkan. Jika boleh, saya dan Niezam mahu segera disatukan. Bagaimanapun, kami terpaksa memilih tarikh bersesuaian kerana keluarga saya di Sabah, Niezam pula di Perak.

"Diakui, perbezaan negeri juga perlu diambil kira. Apa yang merisaukan, keluarga Niezam perlu datang ke Sabah dan situasi COVID-19 pula masih belum reda.

"Apapun semuanya masih dalam pertimbangan. Insya-Allah, saya takkan lupa berkongsi apabila semuanya pasti," kata Nonny.

Sumber : Berita Harian

 

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post