Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya cedera selepas terjatuh dalam kejadian di tempat letak kereta di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.
Ahmad Fedtri cedera pada bahagian muka iaitu kening kiri dan bibir sehingga perlu dijahit.
Mengesahkan perkara itu, TV3 dalam kenyataannya memberitahu, Ahmad Fedtri sedang dirawat di hospital.
"Insiden membabitkan basikal berlaku di tempat letak kereta Sri Pentas selepas siaran langsung MHI, semalam. Ahmad Fedtri sudah selesai menjalani prosedur rawatan dan sedang berehat di hospital.
"Terima kasih atas keprihatinan rakan-rakan media. Sama-sama kita doakan semoga Ahmad Fedtri cepat pulih," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ahmad Fedtri melalui mesej kepada BH Online mengesahkan sedang menjalani rawatan susulan akibat insiden itu.
"Saya hendak membuat pemeriksaan x-ray... Malam tadi, saya selamat menjalani pembedahan kecil.
"Saya mengalami patah tulang pipi, dahi dan bibir koyak serta hidung beralih kedudukan sedikit," katanya.
Isteri penulis lirik terkenal itu turut memaklumkan kejadian menimpa suami melalui Instagram (IG), kira-kira enam jam lalu.
Entri itu turut memaparkan wajah Ahmad Fedtri yang cedera akibat insiden itu.
Sementara itu, pengikut penulis lirik Basyirah itu dan selebriti mendoakan semoga Ahmad Fedtri segera sembuh melalui komen di laman sosial.
Sumber : Berita Harian