Cik Manggis bertudung

 

Penyanyi dan pelakon yang lebih dikenali sebagai Cik Manggis, mula bertudung..

Cik Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin, 30, memberitahu, dia tidak menghebahkan penampilan terbaharunya itu kerana soal penghijrahan bukanlah untuk tatapan ramai. 

"Saya berhijab bukan untuk tatapan umum, sebaliknya untuk diri sendiri. Namun, saya tidaklah merahsiakan, siapa yang bertanya, saya kongsi.

"Soal mengapa saya berhijrah, saya pilih untuk simpan sendiri. Kalau saya berkongsi, saya fikir ia tidak istimewa. Saya mahu rasakan ia sebagai suatu nikmat buat diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Cik Manggis mengaku mendorong diri sendiri untuk berhijrah.

"Sebab kita semua hidup dalam proses memperbaiki diri. Setiap hari, kita mahu menjadi yang lebih baik.

"Jadi, saya mahu mendorong diri menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek," katanya.

Tambah Cik Manggis, suaminya, Syazmin Firdaus Aminuddin menjadi insan paling gembira dengan imej baharu itu.

"Pada hari pertama saya berhijab, kebetulan kami mahu keluar. Apabila dia melihat saya bertudung, suami bagai terkedu sekejap.

"Suami beritahu itulah momen paling gembira buatnya seumur hidup. Namun, dia tidak terkejut kerana proses penghijrahan ini saya lakukan bersamanya," katanya yang berkahwin pada Oktober 2014.

Cik Manggis yang juga salah seorang daripada trio wanita, De Fam memberitahu, identiti dirinya dalam kumpulan itu masih sama biarpun sudah bertudung.

"Penghijrahan saya tidak memberi kesan buruk pada kerjaya atau De Fam, melainkan kebaikan.

"Sebenarnya, sebelum kami menubuhkan De Fam, kami sudah berbincang bagaimana jika suatu hari nanti kami berhijab.

"Kami tidak fikir ini menggugat perjalanan De Fam. Azira dan Sophia sangat gembira atas penghijrahan saya," katanya.

Cik Manggis percaya mereka tidak mempunyai halangan untuk terus berkecimpung dalam dunia muzik.

"Muzik dan persembahan itu dihasilkan kita. Cuma yang berbeza adalah imej," katanya.

Tetap meneruskan perjuangan bersama De Fam, Manggis berkata, mereka akan tampil dengan single baharu, September depan.

"Kami sedang menyiapkan single baharu, Sepatutnya, single ini dilancarkan bulan ini, namun, disebabkan penularan COVID-19, kami tidak dapat melakukannya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post