Janganlah Abaikan Kekasih - Almy Nadia



Pelakon Almy Nadia menasihati pasangan bercinta agar tidak sesekali mengabaikan kekasih masing-masing kerana ia boleh “memakan diri”.

Almy atau atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, pertunangan sorok-sorok kekasihnya Fizz Fairuz dengan seorang wanita yang merupakan isteri orang wajar dijadikan pengajaran buat semua pihak.

"Pengajaran yang boleh saya simpulkan di sini, ianya adalah hukum karma iaitu seserang itu akan mendapat balasan terhadap apa yang telah dilakukannya. Nasihat saya, hargailah orang yang kita sayang dan janganlah sesekali mengabaikannya.

"Jangan nanti apabila kita memerlukan orang itu, maka dah terlambat. Selebihnya saya tidak boleh komen dan enggan masuk campur," katanya.

Kontroversi mengenai status hubungan antara Almy dan Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, tercetus apabila foto majlis pertunangan pemuda itu dengan seorang wanita telah tersebar di Internet.

Bagaimanapun ketika heboh majlis pertunangan rahsia Fizz yang berlangsung pada 10 Februari lalu, pelakon tersebut sebenarnya telah bertunang dengan isteri orang.

Rahsia wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut terbongkar apabila Fizz sendiri dimaklumkan oleh kawan kepada adik wanita tersebut mengenai status “tunangnya” itu.

Sementara itu, ditanya adakah dia ada menghubungi Fizz berhubung perkara itu Almy berkata, dia tidak mahu berbuat demikian kerana enggan mencampuri urusan pemuda itu.

Malah pelakon drama Cermin Kasih Amira (RTM) ini juga tidak menyimpan dendam terhadap Fizz dan sentiasa mendoakan terbaik buat semua orang.

“Saya hanya menerima takdir dengan reda," ujarnya.

- MSTAR Online

MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)

Blogger Informasi

Post a Comment

Previous Post Next Post